Bagaimana Melancong Lama Hanya Dengan Satu Beg

Friday, 22 August 2014

APABILA bercuti, pastinya bilangan beg yang dibawa mencukupi. Jika percutian itu hanya dua atau tiga hari, satu beg memadai.
Bagaimana pula jika percutian itu mencecah seminggu atau dua minggu? Pasti beg yang akan dibawa lebih daripada satu.
Namun, dengan membawa bagasi lebih daripada satu ketika bercuti, ia pasti membuatkan percutian itu lebih rumit kerana perlu sentiasa menjaga beg-beg berkenaan.
Justeru, panduan ini mungkin dapat membantu anda yang akan melancong lama tetapi dengan hanya membawa satu beg pakaian.

* KONGSI BARANG
Apabila melancong dengan kumpulan, anda mungkin boleh berkongsi barang-barang mandian seperti sabun, syampu dan lain-lain bersama rakan. Ataupun mungkin boleh menggunakan barangan mandian yang disediakan di hotel penginapan anda.

* SUSUN RAPI PAKAIAN
Bagi menjimatkan ruang, lipat atau susun pakaian serta barang ke beg dengan kemas dan rapi. Dengan susunan yang betul, segala barang yang anda mahu bawa boleh dimuatkan dalam satu beg.

* BAWA PAKAIAN SENANG KERING
Ada sesetengah individu yang suka membawa baju lebih daripada yang diperlukan. Tabiat itu akan menyumbang kepada pertambahan beg ketika melancong.
Jadi, untuk menjimatkan ruang, bawalah baju yang cepat kering dan mudah untuk dibasuh. Ia boleh membolehkan anda memakainya berulang kali sepanjang bercuti. Membawa pakaian pakai buang juga boleh membantu.

* PILIH BEG YANG SESUAI
Pemilihan beg yang akan di bawa ketika bercuti turut memainkan peranan penting dan perlu mengikut kesesuaian destinasi yang dituju.
Jika percutian agak santai dan lama selain memerlukan anda sentiasa membawanya, beg galas jenis `backpacks´ adalah beg yang sesuai. Beg beroda juga sesuai bagi anda yang mungkin bekerja sambil bercuti serta tidak perlu membawa beg pakaian setiap kali keluar dari hotel.
Beg yang mempunyai banyak komponen juga sangat sesuai untuk anda yang mahu bercuti lama. Dengan komponen yang ada, pakaian yang dipakai boleh diasingkan supaya tidak berbau atau mungkin baju itu boleh pakai balik.

* BEG KHAS UNTUK DOKUMEN PENTING
Untuk tidak membebankan, menyimpan pasport atau dokumen penting dalam beg pakaian menjimatkan. Bagaimanapun, untuk keselamatan, adalah lebih baik anda membawa beg silang kecil untuk memasukkan pasport atau lain-lain dokumen penting.
Jangan lupa buat salinan beberapa dokumen penting kerana jika hilang, anda punya maklumat ketika membuat laporan polis.
Source : Harian Metro – 9 September 2010


0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.
 
Pakej Bajet Percutian Muslim © 2014 | Designed by Interline Cruises