JIKA anda merancang percutian untuk keluarga
terutama cuti sekolah yang bakal menjelang, apa kata memilih percutian di luar
bandar - peluang untuk menikmati pengalaman baru yang tidak mudah ditemui di
destinasi kota besar.
Sama ada ia merentas hutan belantara,
menjelajah gua atau menyertai program kesedaran ekologi yang lain, pelancongan
´luar-bandar´ ini akan memberi anak-anak serta ibu bapa pendekatan yang lebih
menyeluruh untuk meningkatkan pembelajaran dengan cara berdampingan dengan alam
sekitar.
Menurut Pakar Kanak-Kanak, Dr Yong Junina
Fadzil, pelancongan bukan saja untuk bercuti bagi kanak-kanak kerana ia
memberikan mereka peluang untuk mengenali dunia nyata.
"Mereka berkesempatan untuk menyentuh,
menghidu, merasa atau menikmati sesuatu. Ia memberi mereka peluang untuk
mengembara persekitaran di luar alam rumah atau sekolah mereka," katanya.
Pengalaman sebenar, katanya, membantu untuk
memupuk keinginan menimba ilmu dan ia boleh meningkatkan kadar kebijaksanaan
serta daya kreatif kanak-kanak.
"Televisyen dan komputer hanya
memberikan pembelajaran pasif manakala pengalaman nyata memupuk pembelajaran
yang dinamik," katanya.
Ternyata pelancongan bagaikan pembelajaran
yang tiada penghujungnya sama ada untuk kanak-kanak mahupun golongan dewasa.
Namun, ibu bapa harus membuat perancangan
yang teratur untuk memastikan ia menjadi percutian yang menyeronokkan. Berikut
panduan ringkas untuk menikmati percutian yang menggembirakan bersama keluarga:
* Pilih destinasi dan aktiviti yang sesuai
Ketahui topik terkini yang sedang dipelajari
anak di sekolah dan cuba aturkan percutian bersesuaian. Cuba babitkan anak
ketika membuat perancangan supaya seluruh pengembaraan menjadi lebih
menyeronokkan.
Bincang dan dapatkan maklumat bersama supaya
mereka tiada alasan untuk merungut kepada rakan mengenai percutian yang
dianggap hanya idea ibu bapa mereka.
Anak juga perlu tahu batasan memilih
destinasi dan aktiviti bersesuaian kerana sesetengah idea mereka mungkin tidak
boleh diterima disebabkan kekurangan masa atau wang.
* Kenali destinasi terlebih dulu
Sediakan semua maklumat mengenai sesuatu
tempat sebelum memulakan perjalanan dan jadikannya pengalaman interaktif antara
ibu bapa dan anak.
Contohnya, jika menjelajah hutan rimba,
bersedia untuk memberi penjelasan kepada anak mengenai jenis flora dan fauna
yang bakal ditemui sepanjang jalan.
* Merancang atur cara perjalanan
Kanak-kanak mudah letih, oleh itu elakkan
program perjalanan yang terlampau sibuk. Sebagai panduan, aturkan supaya
terdapat keseimbangan antara masa aktiviti dengan masa berehat.
Jika mahu berjalan-jalan selama tiga jam,
aturkan supaya ada masa rehat selama tiga jam.
* Berkemas awal
Elakkan berkemas pada saat terakhir kerana ia
mendatangkan tekanan berlebihan. Apabila tarikh perjalanan sudah ditentukan,
sediakan senarai dan mula mengemas.
Barangan yang akan membantu mengekalkan
keadaan keluarga bersih dan sihat termasuk kain pembalut luka, ubat tahan sakit
atau demam kanak-kanak, ubat nyamuk dan tisu lembap nyah-kuman.
* Utamakan keselamatan
Untuk anak-anak kecil, letakkan sekeping kad
dengan nama, alamat dan nombor telefon bimbit ibu bapa atau penjaga ke dalam
poket mereka.
Untuk kanak-kanak yang lebih tua, berikan
mereka nombor hubungan ibu bapa atau penjaga serta nama hotel yang diduduki,
sebagai persiapan jika mereka terpisah. Masukkan sekali gambar terkini mereka.
* Sediakan makanan dan minuman ringan.
Kanak-kanak yang lapar dan haus memang mudah
meragam. Pastikan mereka makan sebelum perjalanan bermula dan minum banyak air
sepanjang perjalanan.
* Berhenti untuk ke bilik air
Dalam hutan rimba, kadangkala bilik air sukar
didapati. Ketahui lokasi bilik air terdekat dan pastikan anak-anak kosongkan
pundi kencing sebelum pengembaraan bermula.
Merancang percutian bersama keluarga
kelihatan agak menyusahkan, tetapi sebelum membenarkan anak berdepan dengan
televisyen atau menyertai kelas tuisyen tambahan, cuba pertimbangkan manfaat
luar biasa yang boleh diperoleh daripada percutian di luar bandar yang mampu
mendidik mereka, malah pengalaman sedemikian memang tiada bandingannya.
Percutian sedemikian boleh membina sikap
ingin tahu. Anak-anak lazimnya akan
banyak menyoal dan harus disedari kanak-kanak
yang mempunyai sikap ingin tahu yang kuat sememangnya anak yang bijak dan suka
belajar perkara baru.
Ia juga boleh meningkatkan kebolehan
menyesuaikan diri. Ketika bercuti, otak sentiasa cerdas supaya dapat
menyesuaikan diri kepada perubahan pada saat akhir. Ini ternyata sikap yang
cukup berguna ketika anak dewasa kelak apabila mereka berhadapan dengan masalah
dalam kehidupan masing-masing.
Percutian juga mampu meningkatkan pengetahuan
geografi. Mempelajari kebudayaan, ekonomi dan cara hidup masyarakat setempat
lebih meninggalkan kesan daripada cuba menghafal fakta mengenai sesuatu lokasi.
Sedar atau tidak, percutian juga meningkatkan
kefahaman diri. Seseorang yang mengalami tekanan biasanya akan menunjukkan
belangnya. Tekanan daripada perubahan lokasi, cuaca, keletihan dan interaksi
bersama orang lain akan membantu anak lebih memahami watak dan personalitinya
sendiri.
Kanak-kanak yang menyedari mereka mempunyai
kebolehan untuk meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan yang mencabar, amat
membina keyakinan diri mereka.
Mereka berpeluang melakukan sesuatu yang
tidak pernah dilakukan oleh rakan lain, seterusnya membantu untuk meningkatkan
lagi harga diri dan membantu dalam apa saja yang bakal dilakukan pada
masa hadapan.
Kaki melancong sering mengatakan bahasa tidak
menjadi halangan. Mereka yang terdedah kepada kebudayaan, agama dan gaya
kehidupan yang berlainan lebih mudah berinteraksi dengan orang lain.
Lagipun, kita tidak perlu ke luar negara,
memadai melawat negeri lain yang mempunyai loghat serta gaya hidup yang
tersendiri di bumi Malaysia ini.
Source : Harian Metro – 1 September 2010
0 comments:
Post a Comment